MVV: Pembinaan Kolam Takungan, Empangan Baharu Usaha Lengkapkan Infrastruktur



Oleh SALAWATI HARIS

NEGERI Sembilan adalah tempat paling kering di Malaysia dari sudut geografi dan iklimnya dengan purata hujan di kawasan Kuala Pilah mencatatkan hujan tahunan 1190 mm sahaja. 

Bagaimanapun, ia tidak menjadi kekangan dan penghalang kepada pelaksanaan pembangunan dan pemodenan negeri.
Menyedari hal ini, Negeri Sembilan yang dipacu Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan sentiasa berusaha keras bagi memastikan rakyat hidup selesa dan segala keperluan infrastruktur lengkap dalam pelbagai aspek termasuklah bekalan air terawat. 

Pembangunan ini dilaksanakan menerusi Dasar Jaringan Keselamatan Sosial (DJKS) yang bermatlamat mensejahterakan rakyat.
Ditambah pula dengan hasrat kerajaan mahu merealisasikan hasrat Negeri Sembilan sebagai Negeri Maju menjelang 2020.
Malahan, tahun 2016 mencatatkan permulaan pelan jangka panjang pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) sebuah projek pembangunan holistik dari Nilai, Seremban hingga ke Port Dickson seluas 108,000 hektar bernilai berbilion ringgit yang akan dilaksanakan dalam tempoh 30 tahun.
Dalam Pelan Pembangunan dan Pemodenan Negeri Sembilan, MVV ialah pembinaan sebuah ‘Bandaraya Tahun 3,000’ yang akan menyaingi Kuala Lumpur dan menjadi tempat yang lebih baik untuk didiami.
Justeru itu, Kerajaan Negeri sentiasa memandang ke hadapan bagi memastikan bekalan air sentiasa mencukupi terutamanya ketika musim kemarau di negeri ini supaya tidak menjejaskan kehidupan dan produktiviti negeri.
Sehingga kini, terdapat tujuh empangan di Negeri Sembilan iaitu Talang (Kuala Pilah), Triang (Jelebu), Sungai Terip (Seremban), Kelinchi (Kuala Pilah), Ulu Sepri (Rembau), Gemencheh (Tampin) dan Sungai Beringin (Rembau).
Pada 20 Januari 2016 lalu, Menteri Besar mengumumkan tentang pembinaan sebuah kolam takungan air seluas 100 hektar dengan kedalaman 10 meter di Siliau, Rantau sedang dilakukan bagi mengatasi masalah air.
Kolam takungan ini dijangka siap pada pertengahan 2017 ini dianggap sebagai projek ‘serampang banyak mata’ apabila ia bakal membekalkan air terawat sebagai lokasi Projek Tebatan Banjir dan kawasan ternakan ikan air tawar yang bakal menjadi punca pendapatan penduduk setempat.
Pada 24 Mac 2016, Projek Pembekalan Air Mentah ke Empangan Gemencheh menerusi pelan perancangan projek sederhana dan jangka panjang telah siap dan secara langsung mengatasi masalah air terawat di Tampin dan Rembau. 

Menteri Besar telah melakukan upacara ‘back pumping’ untuk memulakan pengepaman yang akan menghasilkan sebanyak 12 mgd (juta gelen air) ke empangan setiap hari.
Pada 30 Mac 2016, Menteri Besar mengumumkan perancangan sebuah lagi kolam takungan air selepas mengambil kira projek MVV bertempat di kawasan hiliran di Sua Betong, Port Dickson seluas 81 hektar. Manakala sebuah empangan baharu pula akan dibina di Lembah Jerang, Jelebu.
Pembinaan kolam takungan dibuat di kawasan hiliran dekat muara kerana didapati hujan tidak lagi turun di kawasan pergunungan atau kawasan bukit tinggi, sebaliknya di kawasan pinggir bukit dan sekitar bukit. 

Ini bermakna tidak mendapat taburan hujan yang mencukupi untuk memenuhi kolam-kolam empangan sedia ada.
Pastinya pelbagai perancangan lain sedang diteliti oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan kemakmuran negeri berada pada tahap yang terbaik khususnya pembangunan membabitkan keperluan asas rakyat yang sentiasa menjadi keutamaan.



Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment